Wednesday, December 15, 2010

PUTERI KU SAYANG......









IN THE NAME OF ALLAH......


Puteri... jangan kau bersedih lagi

Jangan tangisi kehilangan yang seketika ini

Kerana kehilangan ini ujian buatmu...

Kekosongan ini hakikatnya punya hikmah tersendiri

Puteri... tabahkan hatimu

Kuatkan jiwamu

Biarpun kau disakiti

Biarpun kau dilukai

Namun ingat duhai Puteriku sayang

Inilah pentas kehidupan

Mungkin tatkala puteri bersedih

Puteri akan senantiasa mengingati PENCIPTA

Mungkin dahulu...

Puteri selalu leka

Puteri alpa dengan mainan duniawi

Puteri tak ingat nak bergantung pada Ilahi

Maka Puteri...

Hentikanlah kedukaan ini

Kesatlah mutiara suci yang bertubir di pinggir matamu

Usahlah puteri kenangkan peristiwa yang telah berlalu

Basahilah lidahmu dengan alunan Zikrullah

Pasakkan mindamu dengan Ilmu Rabbani

Sinarilah hatimu dengan nur takwa Ilahi

InsyaAllah duhai Puteri

Putik-putik muslimah mithali

pasti akan berputik kembali

Kembalilah duhai Puteri


- SAYANG - KU - PUTERI -

Friday, August 13, 2010

Motivasi: Menjadi Ghuraba’

Jangan malu bawa Islam. Berani menjadi Ghuraba!

Jangan malu bawa Islam. Berani menjadi Ghuraba'! ~ Picture by light-from-emirates of deviant art

Ramai yang menyatakan kesukaran membawa Islam yang sebenar di dalam kehidupan hari ini. Dipandang serong bahkan dijauhi. Ini kerana, apabila kita mengambil Islam secara menyeluruh tanpa separuh-separuh, kita hakikatnya melawan arus.

Ibarat kita sedang mendaki gunung, sedang ramai pula yang bergerak turun.

Kelihatan pelik, asing.

Bila tak ada girlfriend, dikatakan gay. Bila tak ada boyfriend, dikatakan lesbian. Bila nak jadi baik, jaga peribadi, dikatakan nak jadi ustaz. Bila mengajak yang lain ke arah kebaikan, dikatakan sibuk menjaga tepi kain orang.

Kadangkala tidak dengan kata-kata. Pandangan mata yang menunjukkan rasa kurang senang sahaja sudah seakan cabaran yang besar untuk dilepasi. Belum dikira dengan dugaan godaan dalam diri yang mengajak kita ‘bergabung’ dengan suasana.

Inilah dia situasinya.

Situasi ghuraba’.

Namun ini situasi mereka yang bahagia.


Kebahagiaan yang tertinggi

Rasulullah SAW bersabda:

“Islam itu datang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana mulanya ia, maka beruntunglah orang-orang yang asing(ketika keasingan Islam yang kedua itu)” Hadith riwayat Muslim.

Perkataan beruntung di dalam terjemahan hadith ini, menggunakan perkataan ‘Tuuba’. Rasulullah SAW tidak menggunakan perkataan ‘Basyara’ yang juga membawa maksud kegembiraan, keuntungan. Mengapa?

Hal ini kerana, ‘Tuuba’ adalah keuntungan yang tertinggi.

Apakah keuntungan yang tertinggi?

Semestinya syurga Allah SWT. Itulah ganjarannya bagi mereka yang menjadi asing dengan membawa Islam di tengah masyarakat meninggalkannya.

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Surah As-Saff ayat 12-13.


Keyakinan bahawa ini adalah jalan ke syurga

Seorang yang memahami Islam, sepatutnya bergerak atas tolakan keimanan. Bukannya dengan haluan nafsu dan kepuasan individu lain.

Memang keperitan adalah mahar ke syurga. Tiada yang membawa Islam dalam keadaan tidak diduga. Sungguh kebenaran akan sentiasa dicabar. Persoalan yang timbul adalah siapakah yang berani menegakkannya?

Di sinilah kita meyakini betapa kita mengambil jalan ini, mengambil Islam yang sebenar dan merasa izzah dengannya adalah kerana kita faham bahawa inilah dia jalan kita ke syurga.

Apakah punya jalan lain selain mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya?

Tiada.

Tiada.


Bersabar teguh atas jalan ini

Menjadi ghuraba’ memang cabaran. Tiada yang menyatakannya mudah. Namun ia akan terasa ringan dengan hubungan kita kepada Allah SWT.

Kita bukan semata-mata membawa nama Islam untuk ditayang. Kita bukan semata-mata membawa peribadi baik untuk ditatang. Tetapi kita menghidupkan Islam dan membumikannya di dalam kehidupan kerana mencari redha Allah Ar-Rahman.

Tiada lain yang diredhai Allah selain Islam.

“Sesungguhnya cara hidup di sisi Allah itu hanyalah Islam” Surah Ali Imran ayat 19.

Dan Islam yang kita mahu bukanlah Islam celup-celupan dengan pelbagai warna nafsu manusia. Kita ingin membawa Islam secara menyeluruh.

Mengambil celupan Allah sepenuhnya.

“Celupan Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah akan acuannya?” Surah Al-Baqarah ayat 138.

Bukan untuk berbangga-bangga bahawa kita sedang menuju syurga.

Tetapi untuk kebahagiaan akhirat dan keselesaan dunia juga.


Penutup: Manusia meninggalkan Islam, Allah tidak merugi

Sekiranya seluruh dunia ini kufur kepada Allah, Allah tetap tidak merugi.

“Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha kaya(tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” Surah Ali Imran ayat 97.

“Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah An-Nisa’ ayat 131.

“Dan Musa berkata: “”Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

Namun siapakah yang merugi?

Manusia itu sendiri.

Lihat sahaja apa yang Islam arahkan, yang mana satu kah yang membawa kepada keburukan?

Lihat sahaja apa yang Islam larang, yang mana satu kah yang membawa kepada kebaikan?

Islam adalah yang terlengkap, terbaik, tersempurna. Sebab ia datang daripada Allah. Tuhan, bukan manusia. Bahkan Tuhan yang sebenar-benarnya, bukan yang direka-reka manusia.

Maka menjadi ghuraba’ adalah menjadi orang-orang yang bahagia.

Walau seluruh dunia membencinya, mengkonspirasi merosakkannya, manusia ghuraba’ tetap tenang dan bahagia di dalam jiwanya, merdeka di dalam hatinya, kerana dia yakin dia terjaga.

“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.

Hidup mulia, kalau mati pun mati syahid, di akhirat nanti berbahagia abadi.

Siapa yang tidak bahagia?

Menjadi ghuraba.

Walaupun payah!

Tuesday, March 16, 2010

TIADA SIAPA BERHAK MENGAKU IKHLAS!!!

IKHLAS adalah paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan hinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya.

Ia adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.

Ada para sahabat apabila mendengar tentang ikhlas menangis mereka. Mereka merasa tidak selamat, rasanya tidak mungkin dapat perolehinya yang begitu tinggi nilainya kerana susahnya mendapat sifat ikhlas.

Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas.

Siapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas, automatik, ikhlasnya terbatal.

Contoh-contoh bagaimana yang dikatakan mengaku ikhlas: Membantu seseorang sambil berkata,

"Ambillah, saya ikhlas…"

Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak.

"Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak menolak.."

Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan, "Yang ikhlas." "Yang Benar."

Dalam Islam, mengaku baik adalah salah. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi terbatal. Tiada siapa yang mengetahui siapa yang ikhlas sekalipun yang empunya diri.

Tiada siapa yang berhak mengaku ikhlas, Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

Erti Ikhlas

Murni, bersih, jenis dia sahaja, tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung, sebab apabila sudah bercampur dengan benda lain, sudah tidak khalis lagi (tidak pure).

Begitulah dalam beramal, solat, zakat, baca Quran,mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar, semata-mata kerana Allah: kerana suruhan-Nya kerana keredhaan-Nya kerana arahan-Nya kerana mentaati-Nya kerana patuh pada-Nya

Jadi, perkara di atas adalah dari sebab atau kerana-Nya yang satu, tujuan
satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Abdikan diri kerana Allah,
tidak dicampur atau bercampur selain Allah - itulah ikhlas - dorongannya
satu.

Apa yang nak berlaku atau nak jadi atau tidak jadi, tidak timbul sama sekali sebab niat semata-mata kerana Allah.

Sekiranya niat, dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain dari Allah seperti kerana riak, megah, glamor, pangkat, orang minta, takut orang tidak suka, mental exercise, boring tinggal di rumah, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka ia tidak khalis atau ikhlas telah ternoda. Dengan itu boleh jatuh syirik khafi.

Di akhirat nanti Allah menyuruh dia meminta pada orang yang dia niat kerananya. Allah tidak balas kebaikan itu kerana ia mempunyai "kerana-kerana" yang selain dari "kerana Allah".

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, baca Al-Quran di depan orang, forum, upacara memberi hadiah - lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar.

Jarang diambil kira, selalunya ramai yang terjebak.

Khususul Nafs - kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.

Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada 3 jenis kedudukan:

- awal
- pertengahan
- akhir

Kerosakan awal contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata:

"Inilah masanya nak jadi popular" "Aku akan jadi terkenal…" "Dengan ceramah ini dapatlah duit poket."

Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.

Kerosakan pertengahan pula contohnya niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata: "Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."

Kerosakan akhir pula contohnya niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata: "Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis."

Waktu itu maka datanglah rasa ujub hingga lupa ia semua itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah. Orang begitu ibarat membangunkan rumah tiba-tiba siap sahaja rumah itu terus runtuh.

Orang ramai yang mendengar ceramah tersebut juga tidak berubah sebab hati sudah cacat. Mereka memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab dari rasa riak. Sifat taqwa sudah ternafi. Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhuk, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.


Wallahu'alam...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Friday, January 22, 2010

33 Larangan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Larangan 01: Wanita Mendedahkan Aurat
Larangan 02: Wanita Berpakaian Menyerupai Lelaki
Larangan 03: Wanita Bergaul Bebas Dengan Lelaki Bukan Muhrim
Larangan 04: Wanita Bersalaman Dengan Lelaki Bukan Muhrim
Larangan 05: Wanita Berpakaian Menyerupai Pakaian Orang Kafir
Larangan 06: Wanita Menyambung Rambut
Larangan 07: Wanita Mencabut, Mencukur Atau Menipiskan Alis
Larangan 08: Wanita Mengikir Gigi
Larangan 09: Wanita Melakukan Tato
Larangan 10: Wanita Melihat Aurat Sesama Wanita Atau Bergabung Dalam Satu Pakaian
Larangan 11: Wanita Melakukan Musahaqah (Lesbian)
Larangan 12: Wanita Memakai Wewangian Agar Dikagumi Orang Lain
Larangan 13: Wanita Memasuki Pusat Rawatan Kecantikan Awam
Larangan 14: Wanita Berkhalwat Dengan Lelaki Bukan Muhrim
Larangan 15: Wanita Tidak Melayani Kehendak Suami
Larangan 16: Wanita Menceritakan Rahsia Hubungan Suami Isteri Kepada Orang Lain
Larangan 17: Wanita Menerima Tetamu Lelaki Bukan Muhrim Tanpa Izin Suami
Larangan 18: Wanita Keluar Dari Rumah Tanpa Izin Suami
Larangan 19: Wanita Membenci Dan Menyakiti Hati Suami
Larangan 20: Wanita Mengingkari Perintah Suami Yang Baik
Larangan 21: Wanita Bermusafir Tanpa Muhrim Atau Suami
Larangan 22: Wanita Menceritakan Sifat Wanita Lain Kepada Suaminya
Larangan 23: Wanita Puasa Sunat Tanpa Izin Suami
Larangan 24: Wanita Menginfak Harta Suami Tanpa Izinnya
Larangan 25: Wanita Kufur Terhadap Kebaikan Suami
Larangan 26: Wanita Menyumpahi Anak
Larangan 27: Wanita Memaksa Suami Menceraikannya
Larangan 28: Wanita Memakai Pakaian Mas Dengan Sombong Dan Megah
Larangan 29: Wanita Menyakiti Jiran Tetangga
Larangan 30: Wanita Mencakar Dan Merobek Pakaian Ketika Mendapat Musibah
Larangan 31: Wanita Meratapi Kematian
Larangan 32: Wanita Berkabung Atas Kematian Seseorang Melebihi Tiga Hari
Larangan 33: Wanita Menziarahi Kubur Diiringi Tangisan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...